TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama's of the Ahli Sunnah wal Jama'ah
|
|
KEDATANGAN RASULULLAH DAN HUBUNGANNYA DENGAN MU’JIZAT AL-QUR’AN OLEH MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. ke alam ini adalah sebagai rahmat bagi seluruh alam buana ini sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Qur’an dalam ayat yang bermaksud "Dan tidaklah Kami utuskan tuan hamba wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam" (Surah al-Anbiya: Ayat 107). Kedatangannya adalah menetapti apa yang didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang ternyata dalam Surah Al-Baqarah ayat 129 yang bermaksud: "Wahai Tuhan, bangkitkanlah di kalangan mereka seorang Rasul yang akan membaca kepada mereka ayat-ayat keterangan Tuan hamba dan mengajarkan Kitab dan kebijaksanaan kepada mereka dan menyucikan mereka (daripada kesyirikan dan kemaksiatan). Sesungguhnya Tuan Hamba Maha Kuasa lagi Bijaksana." Doa ini dimustajabkan itu ternyata dalam Surah Ali ‘Imran ayat 164: “Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang beriman kerana Dia telah mengutus kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri yang akan membaca keterangan-keterangan Tuhan kepada mereka, menyucikan mereka (dari kesyirikan dan kemaksiatan) dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan kebijaksanaan kepada mereka, walaupun mereka sebelum ini dalam kesesatan yang nyata.” Kedatangan baginda itu membawa kepada turunnya al-Quran al-Karim yang terjaga kesahihannya secara berterusan yang menjaminnya menjadi Kitab Suci yang murni tanpa tara sebagai kitab wahyu yang tertinggi kedudukannya sampai ke akhir zaman. Peri terkawalnya Quran sebagai mu’jizat dari Ilahi tanpa campurtangan manusiawi ternyata dari keterangan Quran dalam ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan Quran Yang Memberi Peringatan dan Kamilah yang menjaganya." (Surah al-Hijr: Ayat 9). Ianya menjadi mu’jizat yang berkekalan terjamin kemurnian dan kesahihannya sampai ke akhir zaman. Dan sejarah telah membuktikan sampai sekarang tidak ada Kitab Suci dalam sejarah agama-agama dunia yang boleh menandinginya. Dalam hubungan dengan mu’jizat Quran sebagai wahyu dari Tuhan ini dinyatakan dalam Quran sebagai cabaran kepada mereka yang mengesyakinya dalam ayat yang bermaksud: "Dan jika kamu masih ragu-ragu tentang (kebenaran Quran) yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) cubalah kamu bawakan suatu surah seumpama Quran itu dan panggillah pembantu-pembantu kami selain dari Allah kalau kamu memang orang-orang yang benar" (Surah al-Baqarah: Ayat 23). Sampai sekarang tidak ada suatu surahpun, apa lagi seluruh kitab, yang mampu dicipta oleh manusia untuk menandinginya. Ini bukti yang menunjukkan bahawa Kitab Quran ini adalah mu’jizat dari Allah. Selain dari itu Quran menyebutkan bahawa kalaulah Quran itu bukan dari sisi Allah maka tentulah ianya mengandungi banyak percanggahan-percanggahan di dalamnya. Ini ternyata dalam ayat yang bermaksud: "Adakah mereka tidak memperhatikan makna al-Quran? Dan kalau sekiranya ianya bukan dari sisi Allah (iaitu bukan wahyu dari SisiNya) tentu mereka akan dapati di dalamnya banyak pertentangan". (Surah an-Nisa’: Ayat 81). Mu’jizat Quran boleh dilihat juga dari segi ianya mengandungi perkara-perkara yang benar walaupun yang demikian itu belum ada dalam pengetahuan zaman itu. Antaranya ini boleh dilihat dalam kenyataan tentang janin dalam rahim dan perkembangannya yang menyebabkan seorang pakar perubatan Francis memeluk islam, namanya Maurice Buccaille. Kenyataan itu terdapat dalam Surah al-Mu’minun yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari sari tanah; kemudian kami jadikan sari-tanah itu air mani, (terletak) di tempat yang teguh (iaitu rahim); kemudian Kami jadikan air mani itu segumpal darah (seperti pacat), lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang; kemudian tulang itu kami tutup dengan daging. Sesudah itu Kami jadikan ianya makhluk yang lain.Maka berkatlah Allah Pencipta yang paling baik” (Surah al-Mu’minun: Ayat 12-14). Keterangan ini menyebabkan Keislaman beliau. Dan kebenaran saintifik dalam Quran ini menjadi bahan penting bagi buku beliau yang berjudul Quran, Bible and Modern Science, iaitu Qur’an, Bibel dan Sains Moden yang diterjemahkan oleh Prof Dr Muhammad Rasyidi dari Indonesia.
Kebenaran-kebenaran Quran: Kebenaran-kebenaran Quran yang berupa mu’jizat yang memandu manusia ke jalan hidup yang benar buat sepanjang zaman sehingga hari Kiamat boleh dilihat daripada ajakannya kepada keimanan, ketaqwaan, keadaban, keilmuan dan kemahiran hidup, ketertiban, kegigihan dalam kebajukan, persaudaraan, permuafakatan dan perpaduan. Ianya mengajak kepada keimanan yang menjadi dasar bagi segala bentuk kehidupan yang bahagia dan bermakna yang diajarkan oleh sekelian anbia dalam sejarah peradaban manusia sejak awal lagi. Itu ternyata dalam ayat yang bermaksud: "Rasul itu beriman apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman, semuanya percaya kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, dan utusan-utusanNya (mereka semuanya mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan seorangpun di antara utusan-utusan Tuhan itu". Dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat Ampunkanlah kami wahai Tuhan kami dan Tuan hambalah Tempat Kembali kami” (Surah al-Baqarah: Ayat 285). Dengan keyakinan yang tidak berganjak dalam keimanan dalam akidah yang diajarkan baginda dan para sahabatnya, akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah mereka hidup dalam keimanan dan keyakinan dengan hidup yang penuh bermakna dari dunia sampai ke alam yang kekal abadi. Dengan keimanan inilah mereka menolak kepercayaan-kepercayaan karut bentuk lama atau baharu sampailah kepada aliran pasca-modenisme yang menghantui manusia zaman ini. Kitab yang penuh mu’jizat ini mengajak manusia sejagat kepada ketaqwaan, iaitu dasar mengamalkan apa yang disuruh oleh Allah dan mengelakkan diri daripada apa yang dilarangnya. Dasar itu sedemikian penting sehingga sekali seminggu wajib diperdengarkan kepada umat dalam khutbah jumuat. Ini jelas dalam ayat yang bermaksud: "Siapa yang menurut PimpinanKu mereka tidak merasa ketakutan dan mereka tidak akan berdukacita (dalam dunia dan akhirat)" (Surah al-Baqarah: Ayat 38); dan ayat yang bermaksud: "Hai anak-anak Adam, kalau datang kepada kamu Utusan-Utusan(Ku) di antara kamu, diceritakannya kepada kamu keterangan-keteranganKu, maka barangsiapa yang bertaqwa - memelihara dirinya daripada kejahatan - dan melakukan perbaikan, nescaya mereka tidak akan merasa takut dan tidak akan berdukacita.” (Surah al-A’raf: Ayat 35). Ciri-ciri menjaga ketaqwaan selepas daripada keimanan adalah ciri-ciri utama kesejahteraan dunia dan akhirat, individu dan kolektif. Keadaban atau akhlak tinggi berupa seruan yang membahagiakan dan menjayakan manusia secara hakiki. Ini antaranya jelas dalam ayat yang bermaksud: "Dan Tuhan telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya, dan supaya kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa (kamu). Dan kalau salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sekali ada dengan engkau sampai umur yang sangat tua, janganlah engkau katakan kepada keduanya “uf” atau ‘ah”, dan janganlah engkau menggertak kedua-duanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’: Ayat23). Seterusnya dinyatakan, maksudnya "dan rendahkanlah sayap merendahkan diri (iaitu merendah dirilah kamu) terhadap kedua-duanya dengan kasih sayang, dan kamu katakanlah (dalam berdoa): "wahai Tuhanku, kasihanilah kedua-duanya sebagaimana mereka berdua telah mengasihi hamba sewaktu hamba masih kecil”; Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam jiwa kamu. Jika kamu orang yang baik sudah tentu Ia pengampun terhadap orang-orang yang taubat kepadaNya; berikanlah kepada kaum kerabat hak-haknya, juga kepada orang-orang miskin, dan orang-orang yang ada dalam perjalanan; dan janganlah engkau pemboros, dan membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu saudara syaitan; sedang syaitan sangat ingkar terhadap Tuhannya; dan kalau engkau pergi dari mereka kerana hendak mencari kurnia Tuhan, yang engkau harapkan, katakanlah kepada mereka (iaitu kedua ibu bapa) perkataan yang lemah lembut….Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu kerana takut miskin, kami yang memberi rezeki kepada mereka dan kamu … dan janganlah hampiri zina, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah …dan janganlah kamu membunuh manusia… Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang paling baik … Dan tunaikanlah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan disoal tentangnya … dan jangan engkau turut tentang apa yang engkau tidak mengetahuinya sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya akan disoal tentangnya…dan jangan engkau berjalan di muka bumi dengan sombong … Itulah sebahagoian dari hikmah kebijaksanaan yang diwahyukan Tuhan kepada tuan hamba (wahai Muhammad)…” (Surah Bani isra’il, dari beberapa potong ayat 23-39). Berbahagialah manusia yang menjalankan hidup mengikut hikmah kebijaksanaan dalam hubungan dengan akhlak dalam hidup ibadat, keluarga, kejiranan dan kemasyarakatannya, dalam hubungan dengan Tuhan, manusia, ibu bapa, keluarga, jiran dan sesama makhluk Allah. Manusia berbahagia dan selamat mengikut al-Quran bila ia mengambil berat tentang ilmu pengetahuan agama dan dunianya. Antaranya ini jelas dalam ayat yang bermaksud "Bertanyalah kamu kepada orang yang mempunyai pengetahuan kalau kamu tidak mengetahui" (Surah an-Nahl: Ayat 43). Dan dinyatakan dalam ayat yang bermaksud: "Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi pengetahuan beberapa darjat (yang tinggi-tinggi) …" (Surah al-Mujadalah: Ayat 11). Ini jelas dalam ayat yang bermaksud "… Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu (berkenaan dengan arak dan judi sebagai misalnya) supaya kemu berfikir hal dunia dan akhirat…" (Surah al-Baqarah: Ayat 219-220). Dan mereka yang boleh berfikir tentang kemaslahatan dunia dan akhirat itu adalah mereka yang mempunyai ilmu samaada tentang dunia dan juga tentang akhirat. Dan bersekali dengan ini al-Quran mahukan umatnya mempunyai kemahiran yang memberikan kepadanya kekuatan yang menyebabkan ianya boleh menghadapi musuh dan menjaga kemuliaan dan keselamatan diri dan umatnya. Ini jelas dalam ayat yang bermaksud: "dan bersiap sedialah kamu dengan pelbagai jenis kekuatan (dengan kemahiran dan kepakaran yang ada pada kamu) untuk menghadapi musuh menurut daya upaya kamu dengan pasukan berkuda di perbatasan untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka, yang kamu tidak mengetahuinya, tetapi Allah mengetahuinya,.." (Surah al-Anfal: Ayat 60). Dan dalam hadith at-Tabarani diriwayatkan “Allah mengasihi si hamba yang bila ia melakukan sesuatu pekerjaan ia melaksanakan dengan cermat dan sempurna (an-yutqinahu, atau yuhsinahu)”. Quran juga mahu orang-orang yang beriman hidup mengikut disiplin dan peraturan dan tidak melanggar disiplin dan peraturan dalam semua keadaan. Disiplin itu bermula dengan diri sendiri dan rumahtangga seperti yang ada dalam ayat yang bermaksud: "wahai orang-orang yang beriman, selamatkan diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka" (Surah at-Tahrim: Ayat 6) dan ayat yang bermaksud: "Masuklah kamu ke dalam rumah melalui pintunya…" (Surah al-Baqarah: Ayat 189). Selain daripada makna lahiriahnya ianya bermaksud semua perkara hendaklah dilaksanakan mengikut disiplin dan peraturannya. Ini juga jelas dalam hubungan dengan Zulkarnain dalam ayat yang bermaksud "Dan Kami berikan jalan kepadanya - sebab - untuk mencapai segala sesuatu" (Surah al-Kahf: Ayat 84), maka tiap sesuatu itu ada sebab-sebabnya yang kita perlu meraikannya dengan keyakinan yang penuh bergantung kepada Allah. Hidup berdisiplin dan beradab dalam keluarga menjadi keluarga mulia dan kuat, demikian juga masyarakat dan bangsa sereta umat. Demikian juga Quran memberi pengajaran supaya kita melakukan kebaikan di jalan Allah dengan penuh kesungguhan dan bukan main-main sebagaimana yang ada dalam ayat "Berjuanglah kamu di jalan Allah - dengan melakukan kebaikan - dengan perjuangan yang sehabis-habis bersungguh-sungguh, Dia telah memilih kamu dan tiada dijadikannya kesempitan dalam beragama" (Surah al-Hajj: Ayat 78); juga dalam ayat yang bermaksud: "…tetapi mereka tidak melakukan menurut yang semestinya" (Surah al-Mujadalah: Ayat 27) dalam menjalankan agama dan kebajikan, maka yang dikehendaki ialah supaya dilakukan "menurut apa yang semestinya (haqqa ri’ayatiha)". Dan Allah menyuruh kita melakukan kebajikan bersungguh-sungguh kerana Allah dalam ayat yang bermaksud: "Maka berlumba-lumbalah kamu dalam perkara-perkara kebajikan" (Surah al-Baqarah: Ayat 148). Antaranya Allah mahukan orang-orang yang beriman hidup dengan penuh rasa persaudaraan. Ini jelas antaranya dalam ayat yang bermaksud "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara (seperti adik beradik sebenarnya" (Surah al-Hujurat: Ayat 10). Ini disusuli dengan keterangan yang bermaksud "Sebab itu damaikanlah (perbaikanlah hubungan) antara kedua saudaramu itu, dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat, hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendah-rendahkan kumpulan yang lain, mungkin (yang direndah-rendahkan itu) lebih baik dari mereka (yang merendah-rendahkan orang itu) …" (Surah al-Hujurat: Ayat 11). Ini disusuli dengan larangan mengumpat, gelar menggelar dengan gelaran yang jahat dan seterusnya. Al-Quran juga mahukan manusia beriman bermuafakat dan tolong menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan. Ini jelas dalam ayat yang bermaksud: "Hendaklah kamu tolong menolong dalam mengerjakan pekerjaan yang baik dan ketaqwaan dan jangan kamu bantu membantu dalam mengerjakan dosa dan pelanggaran hukum Tuhan." (Surah al-Ma’idah: Ayat 2). Dalam hadith disebutkan bahawa orang-orang yang beriman itu saling kuat menguatkan antara satu sama lain. Demikian pula al-Quran menyuruh kepada perpaduan dan kebaikan dalam perpaduan dan mengelak diri daripada perpecahan. Ini jelas dalam ayat yang bermaksud: "dan berpegang eratlah kamu sekaliannya kepada tali (agama) Allah - dalam pegangan dan amalan serta nilai-nilai Ahlis-Sunnah wal-Jamaah - dan jangan kamu berpecah belah - terseleweng daripadanya -"‘Imran: Ayat 103). Jelaslah mu’jizat al-Quran adalah mu’jizat yang kekal dengan kemurniannya sebagai wahyu Tuhan tanpa tercabar, dengan ketepatannya dari segi ilmu pengetahuan, serta dengan ajarannya yang mampu menyelamatkan insan dari dunia dan akhirat dengan penekanannya yang habis-habisan atas keimanan, ketaqwaan, keadaban, keilmuan dan kemahiran, ketertiban, kesungguhan dalam kebaikan, persaudaran, permuafakatan dan persatuan.Inilah ciri-ciri ajaran yang datang dari mu’jizat Quran yang dibawa oleh Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam sebagai rahmat untuk sekelian alam. Wallahu a’lam.
|
|