| |
KEMBALI
KEPADA FITRAH
OLEH:
MUHAMMAD
UTHMAN EL-MUHAMMADY
Fitrah
-
Fitrah
dalam erti kejadian asal insan sebagaimana asalnya sebagaimana yang
terkandung dalam maksud hadith "Setiap orang
bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci bersih; kedua ibu
bapanyalah yang menjadikan dia yahudi ... (dan seterusnya)"
-
Dan
dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud: "Maka
hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah
Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan
pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui" (Surah ar-Rum: Ayat 30).
Erti
Kembali Kepada Fitrah
-
Kembali
kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang
dari Nabi s.a.w.
-
Kembali
kepada mengabdikan diri kepada Allah dalam
seluruh kegiatan hidup sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam
sembahyang: "Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan
matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam".
-
Kembali
kepada kehidupan menjaga suruhan-suruhanNya dan menjauhi
larangan-laranganNya yang semuanya berupa batasan-batasan sesuai dengan
fitrah kejadian asal dirinya.
-
Kembali
kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi
dirinya.
-
Dengan
kembali kepada sifat-sifat yang sesuai dengan fitrah itu maka manusia
mencapai keselamatan hidupnya, kejayaan sebenarnya,
kebahagiaan dan kepuasan serta makna hidupnya.
-
Yang
berlawanan dengan itu adalah kebalikan daripada semuanya itu: kecelakaan,
kegagagalan hakiki, penderitaan, rasa tidak puas, ketiadaan makna hidupnya.
Sifat-sifat
Kembali Kepada Fitrah
-
Kembali
kepada sifat-sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana suruhan
Allah bermaksud "Sesungguhnya bagi kamu
ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah …"
(Surah al-Ahzab: Ayat 21).
-
Iaitu
mengenali dan menghayati sifat sidik - ertinya benar dalam niat, azam,
perbuatan, janji, matlamat.
-
Iaitu
mengenali sifat amanah dalam semua perkara dan tidak melakukan pengkhianatan
dalam semua perkara. (Dalam usuluddin amanah merujuk kepada sifat tidak
melakukan dosa; dalam akhlak merujuk
kepada sifat menjaga amanah dalam segala perkara: berhubungan
dengan Tuhan, diri sendiri, orang lain, pekerjaan, tugas-tugas.)
-
Amanah
perlu dikenali kedudukannya sebagai sifat yang mentakrifkan manusia
sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami bentangkan AMANAH
kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu
memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya; ia zalim lagi
jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya);
-
Bila
amanah dilihat sebagai sifat yang mentakrifkan manusia maka pengkhianatannya
merupakan sesuatu yang menjatuhkan darjah kemanusiaannya;
-
Dalam
tafsir-tafsir “amanah” itu metrujuk kepada kewajipan-kewajipan dalam
agama; seperti rukun Iman dan rukun Islam; kewajipan-kewajipan dalam akhlak
dan muamalah; pergaulan; pekerjaan;
-
Tabligh
atau sifat menyampaikan maklumat yang betul dan benar serta berfaedah - ini
perlu dilakukan dalam hubungan dengan diri sendiri, keluarga, jiran,
termasuk rakan sejawat dan seterusnya.
-
Tabligh
boleh menjangkau persoalan dalam zaman teknologi maklumat. Ertinya maklumat
hendaklah disampaikan kepada sasarannya, baik yang bersifat keagamaan atau
yang bersifat bukan keagamaan.
-
Sifat
fatanah atau kebijaksanaan dalam erti sifat memahami persoalan-persoalan
yang dihadapi dalam hendak
mempertahankan kebenaran agama sehingga kebenarannya boleh dipertahankan
dengan berkesan, sampai kepada perkara-perkara lain
yang menjadi kewajipan manusia memahami dan menghayatinya.
-
Ertinya
manusia Muslim mesti mempunyai “fatanah” dalam hubungan dengan ajaran
untuk menjayakan kedudukannya sebagai “khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya”
dalam semua urusan hidupnya, termasuk ibadatnya, akhlaknya, etika
kerjanya, tadbirannya, pengurusannya, demikian seterusnya.
Ilmu,
Hal Diri dan Amalan
-
Dalam
ajaran Imam al-Ghazali rd manusia mengalami perubahan kepada kebaikan
melalui tiga tahap:
-
ILMU
-
HAL
KEADAAN DIRI
-
PERBUATAN
-
Ilmu
ertinya seseorang itu mesti mengetahui dengan jelas konsep yang dibicarakan,
katakanlah sifat amanah; apa ertinya amanah itu; apa kelebihan-kelebihannya;
apa tanda-tandanya; apa kerugian-kerugian yang dialami kalau disia-siakan;
apa akibat duniawinya; apa akibat ukhrawinya; apa akibat individunya; apa
akibat korporat dan kolektifnya.
-
Hal
keadaan diri ertinya perubahan yang berlaku dalam jiwa, fikiran dan hati
seseorang hasil daripada pencerahan yang
berlaku kerana ilmu yang memasuki dirinya itu; perubahan dalaman yang berlaku itu - seperti kain yang diwarnai oleh sesuatu warna yang
dikehendaki - menyebabkan sifat amanah itu meliputi diri dan jiwa orang yang
berkenaan
-
Amalan
ertinya dengan adanya perubahan
dalaman hasil pencerahan ilmu yang
bermula sebagai konsep dalam minda dan hati serta fikiran itu menimbulkan kesan amalan pada anggota
badan - percakapan pada lidah, gerak pada kaki tangan dan tindakan seterusnya.
-
Ertinya
prinsip dan nilai amanah dalam diri
itu menyebabkan perbuahan yang menyebabkan pula timbul perbuatan amanah
dalam diri seseorang itu; dengan itu berlakulah amanah dalam hubungan dengan ibadat kepada Allah, perlaksanaan tugas kepada anak
isteri, perlaksanaan amanah kepada pihak yang berkenaan
dan amanah dalam hubungan dengan tugas-tugas serta etika kerjanya.
-
Dan
kalau merata sifat ini berlaku dalam sesuatu institusi maka amanah itu
terjelma sebagai budaya korporat
di mana ianya berada. Demikian seterusnya.
-
Demikian
seterusnya dengan semua sifat-sifat utama yang lain.
-
Atau
boleh dilihat pengembalian kepada fitrah dalam erti akhak ini merujuk kepada
empat ibu kesempurnaan:
-
Hikmah
kebijaksanaan yang merujuk kepada kesempurnaan dalam ilmu dan kefahaman yang
diperlukan
-
Pengawasan
diri yang menimbulkan disiplin
terhadap diri yang membawa kepada semua perbuatan dilaksanakan mengikut ilmu
dan akal dan bukan perasaan dan keinginan, bahkan keinginan dikawal dan
ditarbiahkan
-
Keberanian
atau keperwiraan dalam erti semuanya berlaku dalam rangka usaha perjuangan
yang gigih tanpa penat lelah
-
Keadilan
dalam erti semua diletakkan pada tempat letaknya yang sebenarnya.
-
Inilah
pengembalian kepada fitrah dalam akhlak dan amalan perbuatan serta sikap
manusia yang menjayakan,
menyelamatkan, membahagiakan, serta memberikan makna bagi seluruh hidup dan
wujud manusia di dunia.
Wallahu
a’lam.
|